penaja

Monday, June 20, 2011

PROTON UNGUL DI NEW CALEDONIA




         BAGAIKAN ulangan keputusan di Malaysia, Proton meraih tangga pertama dan ketiga pada kejuaraan Rali New Caledonia untuk mencatat kemenangan kedua mereka selepas tiga pusingan Kejuaraan Rali Asia-Pasifik (APRC), semalam.
Merangkul kemenangan kedua musim ini selepas muncul juara pada perlumbaan pembuka tirai musim pada Rali Malaysia April lalu, Chris Atkinson dan jurupandu Stephane Prevot bertindak hebat dengan jentera Satria Neo S2000 menamatkan perlumbaan tiga hari itu di depan pemandu Pertamina Cusco Racing, Rifat Sungkar yang memandu Mitsubishi Lancer Evolution X.

          Ketabahan dan keazaman rakan sepasukan, Alister McRae berbaloi apabila dia menduduki tangga ketiga selepas melepaskan pendahuluan awalnya pada rali itu kerana tayar pancit dan kerosakan driveshaft.
Kemenangan di New Caledonia menyaksikan Proton merampas kejuaraan keseluruhan, tangga teratas di kalangan pencabar APRC dan tangga pertama Piala Pasifik. Proton turut merangkul Trofi Berpasukan APRC pada rali itu.

         “Ia keputusan luar biasa buat Proton, seluruh pasukan dan buat Stephane dan saya secara peribadi. Perlumbaan kami tidaklah berakhir tanpa halangan terutama dengan kerosakan driveshaft pada hari kedua tapi kami bertuah kerana mampu jarakkan diri dan kekal pendahuluan,” kata Atkinson.

         “Daripada segi kuasa, persembahan dan ketahanan, Satria Neo S2000 beraksi bagaikan sebutir permata minggu ini.” Dengan mata maksimum dipungut di New Caledonia, Atkison kini merampas tangga teratas kejuaraan pemandu APRC dengan 58 mata, hanya dua mata di depan McRae.
Di tangga ketiga pemandu Team MRF, Gaurav Gill, yang tidak menamatkan perlumbaan di New Caledonia.

         McRae turut merampas kedudukan tangga pertama dalam kejuaraan pemandu Piala Asia daripada Gill. Turut melonjak ke tangga pertama dan kedua kejuaraan jurupandu APCR adalah Prevot dan Bill Hayes dengan masing-masing mengutip 58 dan 56 mata.

No comments:

Post a Comment