penaja

Sunday, August 7, 2011

Mangsa gurauan rakan


KUANTAN: Seorang pemandu lori bernasib malang apabila cedera di mata kiri selepas rakan sekerjanya secara tidak sengaja membaling mercun bola ke arah mukanya dalam kejadian di sebuah kilang di Semambu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Abd Mubi Mat Zin, 42, yang mengalami kecederaan di mata kiri dibantu isterinya, Rosilawati Hussin, 37, yang tiba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, Abd Mubi berkata, sebelum kejadian dia bersama dua rakannya, Ahmad Fizan Ramli, 25, dan Khairil Faizal Mokhtar, 27, sedang menunggu masuk waktu berbuka puasa.

“Bagaimanapun tiba-tiba rakan sekerja datang dan membaling satu objek menyebabkan dua rakan saya bertempiaran selepas mencurigakan objek itu.

“Saya yang tidak sempat melarikan diri tersentak selepas objek berkenaan meletup sebelum kepala rasa berdenyut diikuti mata kiri berasa pedih,” katanya di HTAA, semalam.

Menurutnya, selepas berasa pedih di mata kiri, dia kemudian rebah sambil memegang mata menahan kesakitan sebelum dihampiri dua rakannya yang cuba membantu.


Katanya, berikutan kejadian terbabit, dia kini berdepan risiko mata kirinya menjadi buta selepas terkena serpihan mercun bola yang dilemparkan rakan.

Abd Mubi berkata, sehingga kini mata kirinya masih belum dapat dibuka selain berasa pedih jika ditiup angin menyebabkan dia terpaksa menggunakan cermin mata untuk sementara waktu.

No comments:

Post a Comment