penaja

Wednesday, July 20, 2011

Taring Harimau tumpul

TAHNIAH...skuad negara melambai tangan kepada penyokong selepas mengalahkan Taiwan di Stadium Taipei pada 4 Julai lalu.


SELEPAS tersingkir, Taiwan sengaja mencetuskan kehangatan pertembungan Malaysia dengan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan melabel permainan skuad Harimau Malaya kurang mantap dan tidak matang.
Kenyataan dikeluarkan jurulatih Taiwan, Tee Tae Ho itu dibuat berdasarkan perbandingannya dengan Singapura yang menewaskan pasukannya 3-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar semalam.

“Singapura lebih mantap berbanding Malaysia yang sedikit goyah permainannya dan tidak matang,” kata Tae Ho dalam kenyataan yang disiarkan laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Singapura.
Pengendali berasal dari Korea Selatan itu berkata: “Penyerang Singapura berpengalaman dan bermain dengan tersusun.” Perlawanan antara Singapura dan Taiwan itu dianggap persiapan pasukan tuan rumah bagi berdepan anak buah Datuk K Rajagobal, Sabtu ini.

Taiwan pula sudah mengucapkan selamat tinggal pada kempen kelayakan Piala Dunia kali ini selepas dikecewakan dengan peraturan gol di tempat lawan apabila terikat agregat 4-4 dengan Malaysia.

Dalam dua perlawanan itu Malaysia menang 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 3-2 di Taipei. Namun jurulatih Taiwan ketika itu adalah Lo Chih-Tsung.
Dalam pertemuan Singapura dan Taiwan, skuad kendalian Radojko Avramovic itu meraih gol menerusi dua jaringan ‘awang import’ Aleksandar Duric sebelum penyerang gantian, Fazrul Nawaz menyumbang satu lagi. Gol pasukan pelawat pula disumbang Lo Chih An dan Hiang Shih Lu. Ternyata kemenangan itu mencetuskan keyakinan Radojko atau turut dikenali Raddy menjelang pertembungan dengan skuad juara Asia Tenggara, Malaysia.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan ada juga perkara positif daripada perlawanan dengan Taiwan ini. Kami mencipta banyak peluang dan hantaran. “Saya gembira dengan persembahan pasukan dan lebih baik pemain-pemain belajar daripada kesilapan ini daripada melakukan kesilapan ketika menentang Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment